Mahu jadi cikgu?Belum tentu…

Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat, bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di sekolah.
Idris Jusoh 2
“Amalan pada masa ini, guru pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka tetapi kali ini kita nak guru jadi profesion yang mulia.
“Jadi kita perlu pilih yang terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat hebat pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini, Isnin.
Mengulas lanjut, Idris berkata langkah itu juga bagi memastikan hanya benar-benar berminat dengan kerjaya guru dilantik, bukan mereka yang berbuat demikian kerana tiada pilihan lain.
“Di Finland misalnya hanya calon terbaik sahaja akan dipilih menjadi guru kerana itu taraf pendidikan di negara itu tinggi,” katanya.
Bagaimanapun kata Idris, rancangan itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian mendalam sebelum boleh dilaksana. 
Pada konvokesyen tiga hari bermula hari ini, sebanyak 3,988 graduan menerima ijazah masing-masing. – BERNAMA
*p/s – Inilah senario politik dalam kementerian kita, setiap kali bertukar menteri ada sahaja pembaharuan pelik-pelik yang nak dibuat. Contoh mudah bagi saya, jika pusat latihan seperti PULAPOL yang melahirkan ramai anggota polis yang cekap, tiada lagi jaminan pelatih yang keluar akan diserap sebagai polis, bagaimana yer? Maka begitulah juga IPG yang khususnya melatih para guru, tetapi tiada jaminan akan jadi guru. Pelik bukan? Mungkin mekanisma ini sesuai untuk dilaksana di IPTA tetapi bagi saya ia TIDAK SESUAI untuk dilaksanakan di IPG.

4,069 total views, no views today


Malaysia Pasca PRU13

result68

 

Hari ini merupakan hari ke-2 selepas berlangsungnya proses demokrasi ke-13 pada Ahad lepas. Saya percaya & yakin semua pihak telah menerima keputusan ini dengan baik walaupun ada pihak yang gembira serta ada juga pihak yang berduka. Ini adalah adat pilihanraya di Malaysia, mesti ada yang menang & mesti juga ada yang kalah.

Saya secara peribadi ingin mengucapkan tahniah kepada pihak parti Barisan Nasional kerana berjaya mengekalkan mandat untuk menjadi kerajaan pada kali ini. Tahniah juga kepada PM kita, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak kerana telah mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia pada kali ini.

Kepada pihak Pakatan Rakyat, tahniah jua diucapkan kerana berjaya menambah bilangan kerusi dalam parlimen. Harapan saya agar mereka dapat menjadi pembangkang yang baik untuk kerajaan selepas ini.

Apa yang boleh saya simpulkan, kedua-dua pihak mengalami 2 perasaan ini, gembira & sedih. Sebab? Mari kita fikir sejenak, di pihak BN mereka gembira kerana berjaya menjadi kerajaan tapi dalam masa sama juga sedih sebab bilangan kerusi parlimen sudah berkurangan sebanyak 7 kerusi berbanding 2008. Sokongan yang diterima dari pelbagai kaum di bandar agak merosot berbanding 2008. Dan saya kurang bersetuju dengan “tsunami Cina” yang digembar-gemburkan tetapi sebenarnya apa yang berlaku adalah tsunami dari kawasan urban (bandar) apabila melihat kepada statistik sebenar.

Manakala di pihak PR, mereka gembira kerana berjaya menambah bilangan kerusi di parlimen sebanyak 7 kerusi berbanding 2008. Maka ini menggambarkan bahawa suara mereka di parlimen akan lebih didengari lagi selepas ini. Tetapi perasaan sedih juga ada kerana harapan untuk membentuk kerajaan baru tidak kesampaian pada kali ini.

“Both wins & both losses”

Harapan saya selepas ini agar kedua-dua pihak dapat menerima & menghormati pilihan rakyat pada kali ini. Akhirnya, Malaysia telah memilih.

2,695 total views, no views today


Selamat Hari Pekerja 2013

hari pekerja

Assalamualaikum & selamat sejahtera buat semua pengunjung & pembaca portal ini.

Walaupun hari ini merupakan cuti umum buat kita semua golongan yang bekerja, namun saya bangun di awal pagi untuk meraikan Hari Pekerja 2013 dengan menzahirkan nukilan di portal ini. Kepada guru-guru yang berada di luar sana, saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana penat lelah kita bekerja, maka hari inilah kita diraikan oleh semua golongan.

Kebiasaannya pada hari inilah kesatuan pekerja seperti Ceupacs, akan memohon beberapa inisiatif untuk penjawat awam daripada pihak kerajaan. Setakat ini saya tak dapat nak ulas apa sebenarnya yang dimohon oleh Ceupacs tapi sikit masa lagi kita akan ketahui daripada Perdana Menteri tentang berita-berita baik yang bakal kita kecapi jika ada. Pada pandangan peribadi saya, inilah masa yang paling sesuai untuk memohon apa sahaja kebaikan daripada pihak kerajaan kerana kehangatan PRU 13 yang tinggal 4 hari saja lagi. Di saat inilah suara kita semua didengari dengan jelas sekali. Selepas ini kenalah kita tunggu 5 tahun lagi. Peluang keemasan ini perlu kita pegang erat-erat!

****************

Semalam saya ada bercakap kepada anak-anak murid, kamu semua kena datang sekolah sebab kamu bukan pekerja. Cikgu tak apalah cuti sebab cikgu memang seorang pekerja tapi kamu tidak. Kemudian murid bertanya balik, kalau kami datang sekolah, siapa yang nak ajar kami? Saya jawab, kamu belajarlah sendiri. Cukup masa, loceng berbunyi, kamu baliklah. Mana boleh cikgu macam tu! Kami nak cuti jugak! Saya senyum saja & beritahu mereka, saya hanya bergurau. Kalau bab cuti, bukan main lagi murid-murid ni.

3,549 total views, 2 views today