Hurmm…Jika melihat kepada tajuk artikel ni, memang seronok sebab ada perkataan cuti. Siapa yang tak suka cuti? Dari murid, cikgu, guru besar hinggalah pekerja sekolah baik yang tetap mahupun swasta, semua suka cuti. Boleh berehat di rumah macam hari ni. Betul tak?
Berita hari ni keluar di Sinar Harian Online yang mengulas kenyataan presiden kita (Ceupacs), Datuk Omar Osman (gambar) memohon kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menimbang memberi cuti tanpa rekod pada 5 dan 6 Mei ini kepada penjawat awam yang ingin balik ke kampung untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Cuti ini bukan apa, ingin menggalakkan lebih ramai penjawat awam terutama yang bekerja di bandar, pulang ke kampung atau kawasan mengundi bagi menunaikan tanggungjawab di hari mengundi (5 Mei 2013, Ahad) nanti.
Tapi cikgu-cikgu di luar sana perlu maklum walaupun 5 Mei tu hari Ahad, 3 negeri (Kedah, Terengganu, Kelantan) beroperasi sekolah mereka macam biasa. Macam mana yer nak pergi mengundi pada hari bekerja? Agak sukar walaupun bukan mustahil. Jadi syor saya agar permintaan Ceupacs ni diluluskanlah tanpa banyak sangat kerenah birokrasi. Perkara ni adalah positif & baik untuk semua PA di Malaysia. Lagipun, bukanlah setiap tahun tapi 5 tahun sekali. Saya masih ingat lagi PRU12 lepas diadakan pada 8 Mac 2008 (Sabtu). Pada ketika itu, masalah ni tak muncul pun.
**************
Untuk pengetahuan anda semua, sambutan Hari Pekerja (1 Mei) nanti akan diadakan di Negeri Sembilan. Temanya kalau nak tahu…..
Satu demi satu berita baik diumumkan oleh kerajaan sejak kebelakangan ini taktala kehangatan pilihanraya umum ke-13 semakin kuat terasa. Esok (10 April, 2013), pihak SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon & tarikh membuang undi. Baru sahaja saya menonton berita di tv3 tadi di mana pengerusi SPR membayangkan yang proses pengundian mungkin dibuat pada hari bekerja. Pada pandangan peribadi saya, mungkin guru-guru sukar sedikit di mana perlu mengajar pada waktu pagi & mengundi pada waktu petang. Agak penat juga bukan? Tapi, sama-sama kita tunggu keputusan SPR esok.
Semalam (8 April, 2013), TPM telah memberi bayangan kemungkinan besar pihak kerajaan akan membekalkan komputer riba kepada seluruh pelajar sekolah di setiap pelusuk negara ini pada tahun 2014 nanti. Wah! Jika ini menjadi kenyataan, beruntunglah anak didik kita semua. Kalau guru turut sama diberi komputer riba ini, sudah tentu kita semua melompat gembira juga! Bertambah rajinlah guru-guru mengisi data dalam SPPBS yer!
************************
Tapi berdasarkan pengalaman saya, kemungkinan komputer riba yang bakal diberi datangnya dari SKMM. Anda tahu tak rupa bentuk komputer itu? Nah, di bawah saya selitkan gambarnya.
Sebenarnya, ada rakan-rakan guru yang saya kenali pernah mendapat hadiah komputer riba ini ketika mereka menerima sijil APC pada tahun lepas (2012). Masa tu, ramailah guru yang cemburu sebab sebelum-sebelum ini dalam majlis APC, tak pernah pun mereka dapat, rezeki masing-masinglah. Kalau tak silap, jenama komputer riba ini datangnya dari negara China.
Lepas mereka pakai dalam beberapa bulan, macam-macam masalah timbul. Antaranya masalah Operating System (OS), tempoh caj bateri yang sangat lama baru penuh & gagal nak hidupkan fungsi wireless. Ada guru yang dah hantar balik komputer ini ke PPD untuk baik pulih. Tapi tak dinafikan ada juga yang ok. Cuma saya mencadangkan agar pihak SKMM jika mahu memberi barangan/hadiah kepada guru, biarlah yang kualitinya lebih baik. Guru ini adalah golongan yang profesional. Biarlah layanan yang diterima, sama baik dengan pegawai bertaraf profesional di jabatan mahu pun di kementerian yang lain. Kursus sekarang pun kebanyakan dijalankan di sekolah-sekolah, jarang sekali di hotel berbanding dulu.
***************************
~ Kerjaya yang profesional perlukan kepada layanan yang profesional ~
Seperti yang diketahui umum, hari ini (21 Mac 2013) diumumkan keputusan rasmi SPM 2012. Pasti anak-anak didik guru pada tahun lepas terasa sangat berdebar-debar untuk mengetahui pencapaian mereka selepas berhempas pulas study siang & malam, tak cukup dengan itu ditambah lagi dengan tuisyen & kelas tambahan sampaikan cikgu pun kurang masa bersama keluarga & anak-anak. Tujuannya hanyalah satu, anak murid…..
Sedikit laporan dari Berita Harian,
“Daripada 472,541 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012, 15,793 calon berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Daripada jumlah itu seramai 13,721 calon adalah dari sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.16 peratus berbanding 12,970 calon memperoleh semua A pada 2011.
Bakinya, iaitu seramai 2,072 yang memperoleh semua A adalah dari sekolah bukan KPM, menurun 0.14 peratus berbanding 2,109 pada 2011.”
Bagaimana nak semak keputusan SPM?
SMS
Taip SPM [NO KAD PENGENALAN][ANGKA GILIRAN] hantar SMS ke 15888
Di sini Admin ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya & kepada yang kurang berjaya, jangan putus asa kerana laluan pendidikan di alaf baru ini tersangatlah luas selepas SPM. Teruskan berusaha! Janganlah sesekali melupakan guru-guru anda & kalau wajah anda keluar di tv, ucaplah terima kasih kepada guru-guru selepas ucapan terima kasih kepada ibu bapa anda.
GEORGETOWN – Sembilan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian di sini, berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Shanta Sankaran, 20, satu-satunya pelajar India yang memperolehi 4A melahirkan rasa gembira kerana berjaya memperolehi keputusan itu.
Beliau berkata, keputusan STPM adalah hadiah paling bermakna untuk dirinya dan kedua ibu bapa yang tidak jemu memberi galakan dan sokongan moral.
“Saya bercita-cita menjadi pakar forensik sains. Saya akan melanjutkan pengajian di mana-mana di universiti tempatan dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.
Walaupun, pencapaian STPM di negeri ini menunjukkan penurunan 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus dengan 3,304 calon pada tahun berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus dengan 3,062 calon.
Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, Pulau Pinang tetap melakar keputusan cemerlang dalam STPM apabila peratus kelulusan secara keseluruhan berjaya mengatasi keputusan peringkat nasional tiga tahun berturut-turut mulai 2010.
“Kita capai kelulusan 96.15 peratus manakala peringkat nasional ialah 94.44 peratus pada tahun ini.
“Kita buat perbadingan dari 2010 dan menunjukkan peratusan negeri makin meningkat,” katanya kepada media di SMJK Chung Hwa Confucian, Greenlane.
Dalam pada itu, seorang pelajar SMK Tunku Abdul Rahman, Nibong Tebal, dipilih sebagai pelajar terbaik Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau berkata, Navanneeta Nair Maran Nair yang cacat pendengaran memperoleh PNGK 3.00.
Sementara itu, seorang pelajar dari Pulau Pinang berjaya menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM peringkat kebangsaan.
“Aw Yeong Zhi Sheng dari SMJK Chung Ling mendapat keputusan 5A dengan PNGK 4.00.
Ahmad Tarmizi berkata, 12 sekolah di negeri ini memperolehi kelulusan 100 peratus dalam STPM 2012.
Ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor, SMKA Al-Irshad, SMJK Chung Ling, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Raja Tun Uda, SM Pendidikan Khas Persekutuan, SMJK Chung Hwa Confucian, SMJK Jit Sin, SMK Dato Onn, SMK Telok Air Tawar, SMK Sungai Acheh dan SMK Permatang Rawa.
Dari segi mata pelajaran, beliau berkata 12 mencatatkan peningkatan iaitu Bahasa Cina, Usuluddin, Georgrafi, Sains Sukan, Bahasa Tamil, Syariah, Sejarah, Perakaunan, Matematik S, Matematik Tambahan T, Komputing dan Seni Visual.
“Manakala 11 mata pelajaran menurun iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Ekonomi, Pengajian Peniagaan, Matematik T, Fizik, Kimia dan Biologi,” katanya.
“Kerana mulut badan binasa” – Itulah yang berlaku kepada seorang guru yang tidak fikir secara waras sehingga sanggup menghina pasukan keselamatan Malaysia yang bergadai nyawa untuk mempertahankan tanah air Sabah daripada pengganas. Kata-kata yang dikeluarkan di media sosialnya (facebook) sangat tidak boleh diterima lebih lagi dia seorang guru!
Dia begitu terang-terangan melakukan penghinaan di facebook dengan berulang kali seolah-olah ingin menarik perhatian ramai. Adakah dia fikir orang ramai akan suka? Adakah dia mahu menjadi perhatian ramai dalam sekelip mata? Apa tujuan dia buat begitu? Adalah tidak bijak bagi seorang guru yang sepatutnya menanamkan sikap patriotisme dalam kalangan murid-murid tapi sebaliknya tidak memahami apakah nilai patriotisme yang sebenar-benarnya.
Sebagai insan yang bergelar guru, kita berasa amat malu dengan adanya orang yang telah mempalitkan profesion mulia ini dengan tanggapan buruk dari masyarakat umum. “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Selepas ini menjadi tanggungjawab kita untuk membersihkan semula gelaran mulia “guru” ini kepada umum dengan jawapan yang bernas bagi menjawab isu terbaru ini.
Inilah padah yang diterima kerana tidak berfikir sebelum buat sesuatu,
* p/s – Kita berharap agar guru tersebut menyesal atas tindakannya & memohon maaf. Sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial.
Jika sebelum ini Admin ada mensisipkan ramalan tentang COLA & ITP yang dicanangkan Ceupacs bakal akan naik, nampaknya ramalan itu meleset sama sekali. Selepas tengah hari tadi di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA ke-13), antara 9 “berita baik” yang diumumkan, berikut adalah salah satu daripadanya yang dinikmati semua PA di Malaysia.
“Pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013 di mana penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred masing-masing.”
Contoh :
Guru Gred DG41 :
Gaji pokok 2012 = RM2500, KGT = RM225, TPG = Januari 2013
Gaji pokok Jan 2013 = RM2500 + RM225 = RM2725
Selepas PM umum KGT naik 1 tangga :
Gaji pokok selepas 1 Julai 2013 = RM2725 + RM225 = RM2950
Maksud di sini, untuk tahun 2013, para PA akan terima 2 kali kenaikan gaji. Tahniah diucapkan buat semua walaupun Ceupacs minta A & B tapi yang dapat adalah C, gaji tetap juga naik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan ‘berita baik’menjelang tengah hari ini – antara dua hingga lima perkara penting termasuk imbuhan tetap perumahan dan kajian semula isu gaji maksimum. Beberapa pemimpin Cuepacs yang dihubungi yakin sekurang-kurangnya akan ada dua pengumuman penting iaitu yang berkenaan dengan imbuhan tetap perumahan bulanan 1.4 juta kakitangan dan gaji maksimum yang menyentuh kepentingan sekitar 20,000 penjawat awam.
Bagaimanapun kata pemimpin itu, “saya tidak melihat akan ada pengumuman mengenai kenaikan gaji, sebab kenaikan gaji telah dibuat tahun lalu.” Oleh itu katanya, “berita baik lebih kepada soal kajian semula elaun seperti imbuhan perumahan dan elaun sara hidup (Cola).”
Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji.
Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara tersebut merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam negara ini.
Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.
Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam, hari ini, perdana menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam.
“Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif, kita sama-sama tunggu.
“Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam,” katanya.
Kota Bharu: Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengumumkan jadual gaji baru yang lengkap sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan nanti.
Gesaan itu dibuat Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berikutan pihaknya dihujani dengan pertanyaan dan maklum balas berhubung perkara terbabit.
Katanya, mereka sebolehnya mahu jadual gaji itu diumum segera supaya semua kakitangan awam lebih jelas mengenai tangga gaji masing-masing “Kita mahu perkara ini disegerakan kerana sehingga Januari ini, ramai yang menunggu jadual gaji baru, sebab dalam gaji maksimum dan minimum ini, dia tidak boleh nampak lagi gaji dan tangga gaji dia macam mana.
“Kita semua dalam mana-mana sektor sekalipun nak ada satu gaji yang mantap supaya orang boleh baca gaji sendiri, tetapi apa yang berlaku hari ini ialah kita tidak boleh tengok lagi.
“Pendirian CUEPACS ialah kita mahu perkara jadual gaji yang lengkap ini kalau boleh mesti diumumkan sebelum PRU-13,” katanya selepas mengadakan Lawatan Pendidikan dan Penyerahan Sumbangan NUTP Kebangsaan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, di sini, semalam.
Sebelum ini Loke menjelaskan bahawa jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam itu perlu diumum secepat mungkin bagi memastikan semua pekerja itu dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
Dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum tahun ini dan tanpa jadual gaji itu, kakitangan terbabit tidak dapat melihat pergerakan gaji masing-masing selepas pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilakukan kerajaan, tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata, mereka berharap gesaan itu diberi perhatian oleh kerajaan sekali gus menyampaikan khabar gembira.
Sumber : http://eyesnews.wordpress.com/2013/02/25/cuepacs-gesa-umum-jadual-gaji-baru-sebelum-pru-13-metro/
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi 1.4 juta kakitangan awam akan menerima berita baik tidak lama lagi, yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, tuntutan dan rundingan yang telah dibuat oleh Cuepacs dan perdana menteri menunggu masa sesuai untuk diumumkan.
“Banyak perkara telah dituntut oleh Cuepacs dan saya rasa sudah beberapa kali Cuepacs berjumpa dengan perdana menteri, ada serahkan surat dan memorandum.
“Apa yang dituntut oleh penjawat awam melalui Cuepacs telah dibawa ke perdana menteri dan insya-ALLAH mungkin ada berita baik tidak lama lagi.
“Kita tunggu dan bersabar sajalah bila dan apa yang akan diumumkan oleh perdana menteri nanti,” kata beliau di hadapan 3,000 peserta pada Majlis Perjumpaan Khas Cuepacs bersama beliau hari ini di sini.
Bulan lalu, Muhyiddin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa masalah mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.
Beliau berkata, kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara.
“Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan, namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.
“Tunggulah dan berdoalah agak panjangdaripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi,” katanya.
Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Presiden Umno berkata, penjawat awam merupakan tunggak utama bagi melaksanakan dasar dan plan pembangunan.
Muhyiddin juga berkata, Cuepacs membantu kerajaan dan penjawat awam berinteraksi untuk mencari mekanisme yang lebih berkesan bagi menyelesaikan apa jua perkara.
“Kita akui penjawat awam adalah tunggak utama kepada kerajaan dalam pembangunan ekonomi negara dan sebagainya.
“Namun, saya ucapkan tahniah kepada Cuepacs yang menjadi orang perantaraan antara kerajaan dan penjawat awam untuk mencari cara yang berkesan dalam menangani isu-isu berkaitan,” katanya lagi.
Majlis perjumpaan ini juga adalah julung kali diadakan bagi membingcang masalah dan kekeliruan yang dihadapi oleh penjawat awam.
Pada program ini peserta berinteraksi secara langsung dengan Muhyiddin bertanyakan soalan yang berkaitan sektor awam.
Tarikh rasmi keputusan SPM 2012 akan diumumkan pada bulan Mac 2013. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia tersebut boleh diambil di sekolah masing-masing mulai 20 Mac 2013. Demi kemudahan pelajar, calon juga boleh membuat semakan menggunakan kaedah pesanan ringkas SMS seperti yang tertera di bawah. Semoga semua calon mendapat keputusan SPM yang cemerlang pada tahun ini.
Tarikh Semakan Keputusan SPM 2012
Tarikh Keputusan SPM 2012 : 20 Mac 2013
Masa : Bermula 10 pagi
Semakan Keputusan SPM 2012 Secara SMS :
Anda boleh semak keputusan SPM 2012 secara SMS dengan menaip SPM <Nombor KP> <Nombor Giliran> dan hantar ke 15888.
Contohnya :
SPM 900104038776 BC0001A044 dan hantar ke 15888
* p/s – Ada guru yang ingin berkongsi bahan di portal ini. Anda boleh ke ruangan Upload Bahan@Sini di sebelah kanan (bawah) side bar. Atau boleh klik pautan ini —> Upload Bahan