Terbaik STPM – SMJK CHUNG HWA CONFUCIAN
GEORGETOWN – Sembilan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian di sini, berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Shanta Sankaran, 20, satu-satunya pelajar India yang memperolehi 4A melahirkan rasa gembira kerana berjaya memperolehi keputusan itu.
Beliau berkata, keputusan STPM adalah hadiah paling bermakna untuk dirinya dan kedua ibu bapa yang tidak jemu memberi galakan dan sokongan moral.
“Saya bercita-cita menjadi pakar forensik sains. Saya akan melanjutkan pengajian di mana-mana di universiti tempatan dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.
Walaupun, pencapaian STPM di negeri ini menunjukkan penurunan 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus dengan 3,304 calon pada tahun berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus dengan 3,062 calon.
Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, Pulau Pinang tetap melakar keputusan cemerlang dalam STPM apabila peratus kelulusan secara keseluruhan berjaya mengatasi keputusan peringkat nasional tiga tahun berturut-turut mulai 2010.
“Kita capai kelulusan 96.15 peratus manakala peringkat nasional ialah 94.44 peratus pada tahun ini.
“Kita buat perbadingan dari 2010 dan menunjukkan peratusan negeri makin meningkat,” katanya kepada media di SMJK Chung Hwa Confucian, Greenlane.
Dalam pada itu, seorang pelajar SMK Tunku Abdul Rahman, Nibong Tebal, dipilih sebagai pelajar terbaik Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau berkata, Navanneeta Nair Maran Nair yang cacat pendengaran memperoleh PNGK 3.00.
Sementara itu, seorang pelajar dari Pulau Pinang berjaya menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM peringkat kebangsaan.
Ahmad Tarmizi berkata, 12 sekolah di negeri ini memperolehi kelulusan 100 peratus dalam STPM 2012.
Ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor, SMKA Al-Irshad, SMJK Chung Ling, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Raja Tun Uda, SM Pendidikan Khas Persekutuan, SMJK Chung Hwa Confucian, SMJK Jit Sin, SMK Dato Onn, SMK Telok Air Tawar, SMK Sungai Acheh dan SMK Permatang Rawa.
Dari segi mata pelajaran, beliau berkata 12 mencatatkan peningkatan iaitu Bahasa Cina, Usuluddin, Georgrafi, Sains Sukan, Bahasa Tamil, Syariah, Sejarah, Perakaunan, Matematik S, Matematik Tambahan T, Komputing dan Seni Visual.
“Manakala 11 mata pelajaran menurun iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Ekonomi, Pengajian Peniagaan, Matematik T, Fizik, Kimia dan Biologi,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
5,390 total views, 2 views today
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.